Misi mencari nasi lemak kelewatan hari ni, kerana dahulukan misi membeli bahan mentah untuk Cookiddos.

Gerai yang biasa ummi beli nasi lemak tu dah tutup (atau tak buka), awal pula dia tutup harini. Makanya terus menuju ke jalan belakang antara Taman Panglima dan Taman Bentara.

Sepanjang jalan itu, banyak gerai menjual nasi lemak, kuih muih dan sayur-sayuran segar. Kalau tak biasa, rambang mata juga mahu memilih gerai mana yang memenuhi citarasa. Kereta meluncur terus ke gerai nasi lemak kesukaan dan berhenti di tepi jalan berdekatan gerai.

Ummi nampak nasi lemak hanya tinggal dua bungkus. Tapi ummi tak terus keluar, kira dulu duit syiling yang ada. Semasa sibuk mengira, mata menjeling ke belakang, ada sebuah kereta berhenti.

“Alamak, janganla kakak tu beli nasi lemak.” Laju-laju ummi kira duit syiling.

Ummi pandang ibu, ibu pandang ummi, dan datang dekat ke kereta.

“Kakak nak nasi lemak ke?” Mungkin dia nampak ummi kelamkabut kira duit syiling kot. Haha.

“Ye, nak beli. Ada lebih lagi tak?”

“Tinggal satu je la sayang. Kakak tu beli sebungkus, tinggal satu je lagi. Kesiannya, nak beli untuk adik kecik ni ke?”

Pemilik gerai ni sangat peramah. Di bahasakan dirinya sebagai ibu kepada semua pelanggan.

“Ye, nak beli dua. Takpela, takde rezeki. Saya pun terlewat hari ni.” Ummi pun redha lah, mungkin rezeki kat tempat lain.

“Kakak tak lewatlah, awal lagi ni. Meniaga macam ni lah kan. Kadang-kadang 7.30 pagi nasi lemak dan kuih-kuih dah habis. Ada masanya pukul 11 nasi lemak masih berlonggok. Rezeki ni Allah dah tentukan,kita kena terima.”

Begitulah asam garam berniaga. Ada ketikanya rezeki datang mencurah-curah. Ada ketikanya, seminggu berlalu tanpa sebarang jualan. Hakikatnya Allah ingin mengajar kita erti sabar dan syukur. Yang banyak dikongsi, yang sedikit disyukuri.

Bila bekerja bertuankan Tuhan, tiada apa yang perlu ditakuti. Allah Maha Memberi Rezeki, semuanya mudah bagi Allah. ❤

Panjang pula membebel harini. Nak ceritanya cuma tentang nasi lemak, menu kesukaan sepanjang zaman, sampai ke Kelantan pun masih mencari nasi lemak. ?

Ummi,
Pencinta nasi lemak ❤