Masa bulan puasa haritu, ummi sangat sibuk. Walaupun dah ada seorang pekerja, ummi tetap juga perlu turun padang membantu. Makanya, urusan rumah terpaksa letak tepi dahulu. Sabtu Ahad pun bekerja bersama-sama Kak Ros, pembantu ummi yang rajin tu.
Pada suatu pagi sabtu, masa ummi tengah kalut-kalut siapkan order Cookiddos, datang seorang kanak-kanak..
“ummi, harini abang cuti. Jomla kita buat aktiviti.” Si abang meminta dengan penuh harapan.
“Maaf la abang. Ummi tak sempat nak buat aktiviti sama-sama dengan abang. Ummi bizi sangat ni.” Ummi tau jawapan ummi sangat mengecewakan. Tapi ummi terpaksa. Kalau ditinggal, alamatnya tak berbiskut raya lah anak-anak pelanggan ummi nanti. sobsob.
.
Lepastu ummi taktau dah dia buat apa. Memang hari kalut sedunia. Selang beberapa ketika, ummi dengan sayup-sayup dari dapur suara kanak-kanak berdecit-decit di depan.
.
‘Apalah yang depa duk buat nih. Aneh sungguh bunyinya.’ Bisik hati ummi.
.
Senyap-senyap ummi ke depan. Rupa-rupanya mereka berkhemah di satu sudut sambil membaca buku bersama-sama. Ingatkan apa. Lega haih. Jarang-jarang dapat melihat situasi macam ni, main baik-baik dan baca buku sama-sama. anak-anak memang suka bermain dengan sofa. Selalunya mereka buat kubu perang, kalini berkhemah pula.
.
Bila ummi perhati berulang kali video ni, ummi perasan Amin sudah mula pandai membaca sambil mengintonasikan gaya bacaan mengikut cerita.
.
Kalau dulu, bacaannya lancar macam keretapi. Sekarang lancar dengan intonasi. Fateh pula cuba untuk berintonasi sama seperti Amin.
.
Begitulah. Kadang-kadang kerana kesibukan, kita terlepas pandang perkembangan dan pencapaian anak-anak. Sedangkan inilah yang kita nanti-nantikan sewaktu hari pertama mereka lahir ke dunia.
.
Usia emas anak-anak tidak akan berulang. sedih kan kalau kita tak dapat sama-sama menikmati momen indah ini bersama. sekurang-kurangnya luang masa 10 minit untuk membaca buku atau bercerita bersama anak-anak. 10 minit yang berkualiti. 10 minit yang mereka akan ingati hingga mereka membesar nanti. insyaAllah.