Alhamdulillah, satu pencapaian yang ummi tak sangka sejauh ini. Ummi target untuk Amin membaca dan menghafal sehingga surah Addhuha sebelum usianya menginjak 3tahun pada bulan 6 nanti. Ummi mula mengajar anak-anak mengaji pun dah lewat, jadi memang tak target tinggi-tinggi.
Ummi nak share beberapa cara yang ummi gunakan untuk anak-anak yang kebanyakannya dicedok daripada perkongsian ibu-ibu yang berpengalaman. InsyaAllah kita semua mampu melakukannya.
1. Sentiasa perdengarkan alunan ayat suci Alquran seusia bayi lagi.
Cara ini memberi impak paling besar untuk anak-anak mudah menghafal. Ummi mulakan dengan juzuk amma, ayatnya yang pendek-pendek memudahkan anak-anak untuk mengingat.
Sentiasa perdengarkan surah-surah hafazan sepanjang masa, juga ketika tidur. Apa yang mereka dengar akan diserap diminda bawah sedar.
Apabila sudah diserap, kadang2 sambil bermain pun tanpa sedar mereka akan membaca potongan ayat-ayat tersebut.
Pernah pada suatu tengahari ummi dengar Amin mengigau dalam tidur. Apabila diamati, rupa2nya Amin membaca beberapa potong ayat daripada surah Al-lail, jelas dan terang sehingga dia tersedar sendiri daripada tidur. AllahuAkbar!
2. Sesi mengaji bersama.
Sesi ini penting untuk kita menyemak bacaan dan mengenalkan mereka dengan kalimah demi kalimah dan ayat demi ayat. Peruntukkan sedikit masa lebih kurang 15-30 minit pada waktu yang konsisten.
Tunjuk kalimah satu persatu. Anak-anak lebih mudah untuk membaca ayat demi ayat kerana mereka telah merakam ayat-ayat yang diperdengarkan, hanya untuk mengenal kalimah sahaja.
Memandangkan Amin belum bersekolah, masa mengajinya lebih sedikit iaitu selepas maghrib, sebelum tidur, dan selepas bangun dari tidur. Biasanya dia sendiri yang akan meminta untum mengaji.
3. Gunakan Quran/buku Juzuk Amma yang menunjukkan kalimah demi kalimah.
Jika gunakan buku juzuk amma untuk anak2, pastikan cari yang kurang gambar supaya tumpuan tak terganggu. Contohnya seperti Juzuk amma Alquran Pertamaku, atau Juzuk Amma Lafzhiyah.
4. Tunjukkan video kanak2 mengaji.
Ummi suka bukakan siri Hafiz Indonesia di youtube. Perkenalkan dengan abang Musa (hafal 29juzuk), kakak Kaisa (membaca sambil buat gaya, best!), abang Thaha, abang Ahmad saud (video animasi haiwan), abang Fajar (penghidap cerebral palsy yang menghafal 30juzuk alquran).
Untuk alunan video dan cd ummi gunakan bacaan daripada Ahmad Thaha.
4. Sama2 mengaji abang dan adik.
Ini sebenarnya part paling mencabar bagi ummi sendiri. Mana taknya, main tak sudah-sudah. Lepas bergelak ketawa, menangis pula. Tapi sentiasa nasihat hari-hari supaya mengaji dan mendengar sama-sama.
Amin sentiasa memerhatikan dengan teliti ketika abangnya membaca. Inilah rupanya cara Amin belajar. Dengar dan lihat, kemudian ekspresikan.
5. Ulang bacaan setiap ayat 3 hingga 10 kali atau sehingga lancar.
Ummi tak target berapa ayat untuk setiap sesi. Yang penting anak-anak menguasai bacaan setiap ayat. Jika ayat terlalu panjang, mereka hanya baca dan hafaz dua ayat sahaja.
Cara Amin, dia akan membaca 3-4 surah setiap sesi walaupun surah pertama masih belum lancar. Jadi, dalam masa seminggu atau lebih Amin akan mengulang surah2 tersebut hingga lancar baru masuk surah baru.
6. Ulangkaji
Biasanya sabtu dan ahad akan buat sesi ulangkaji, beraktiviti dan tadabbur bersama-sama. Bila mereka faham ayat, mereka akan lebih seronok untuk mengaji dan menghafal.
Tadabbur dan bercerita kisah-kisah dalam Alquran sangat penting kerana kita bukan sahaja inginkan anak yang pandai membaca alquran, tetapi juga cintakan Quran. (Ingatan untuk ummi supaya lebih bijak dan rajin beraktiviti!)
7. Carta hafalan surah.
Untuk Fateh dan Amin, ummi sediakan masing2 carta hafalan surah dan tampal didinding. Setiap kali satu surah dihafal, mereka akan tick dan letak sticker.
Ummi jadikan ini sebagai motivasi untuk Amin supaya menghafal sama seperti abang. Hari-hari tanya, “ummi..lepas ni surah apa? Lepas tu surah apa?”
****
Semoga dengan perkongsian ini, kita dapat sama-sama mendidik anak-anak menjadi seorang pencinta alquran, dan berakhlak dengan akhlak alquran.
Kita tak tahu, mungkin dengan asbab ini Allah luaskan rezeki kita.
Kita juga tak tahu, mungkin dengan asbab ini Allah mudahkan setiap jalan-jalan yang sukar.
Semoga dengan asbab ini, akhlak dan jiwa mereka terpelihara.
Ummi,
Masih belajar untuk mengajar.
#Anak2PencintaQuran
#QuranicHomeschooling